“Propaganda Islam” Bonaparte Berjaya Menduduki Mesir

  • Post category:Tokoh
Kongsikan Bersama

*Oleh: Birru Aidan:)

Tahun 1798-1801 merupakan tempoh pendudukan Perancis di Mesir di bawah pimpinan Napoleon Bonaparte. Kejayaan Bonaparte tersebut didorong oleh semangat inkuiri merangkumi persiapan pengetahuan yang diperolehinya sebelum menguasai Mesir. Tokoh penguasa Eropah seperti Alexander the Great yang pernah menduduki Mesir dikagumi beliau, secara tidak langsung menjadi pemangkin kepadanya menguasai Mesir. Bonaparte mempersiapkan pengetahuannya sebelum menguasai Mesir dengan merujuk karya seorang pengembara Perancis, Comte de Volney iaitu Voyage en Egypt et en Syrie (1787) dan Considerations sur la guerre actuel de Turcs (1788). Karya Volney dijadikan asas Bonaparte untuk menduduki Mesir yang mendedahkan cabaran yang perlu dihadapi beliau dengan pihak England, Turki Uthmaniyah serta masyarakat Muslim Mesir itu sendiri.

Photo by: enacademic.com (ed)
Strategi Bonaparte ketika pertama kali berjaya bertapak di Mesir pada tahun 1798 adalah menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat Muslim. Ini kerana, Bonaparte menyedari jumlah tenteranya adalah terhad. Justeru, beliau bertindak mengurangkan risiko penentangan penduduk Muslim Mesir terhadapnya dengan pendekatan baik dari segi perhubungan. Semasa menduduki Iskandariah pada 2 Julai 1798, beberapa sentimen Islam digunakan Bonaparte bagi menarik hati penduduk Mesir. Contohnya, beliau telah mengumumkan pengisytiharan dalam bahasa Arab dengan memulakan kalimah doa yang sinonim dengan Muslim iaitu ayat Bismillah, “dengan nama tuhan (Allah) yang Maha Pemurah, tiada tuhan melainkan dia (Allah), dia tidak memiliki anak dan pasangan”.
Photo by: realmhistory.com (ed)
Pemerintahan Mesir yang sebelum itu masih dikuasai golongan elit Mamluk di bawah naungan empayar Turki Uthmaniyah menurut Bonaparte gagal membela penduduk Mesir. Hal ini dimuatkan Bonaparte dalam pengisytiharan tersebut bahawa pada sisi tuhan, semua manusia adalah sama, melainkan kebijaksanaan atau kebaikan yang dimiliki seseorang individu. Pemimpin Mamluk menurutnya tidak memiliki ciri tersebut. Segala pengisytiharan Bonaparte diterjemahkan oleh sarjana-sarjana Perancis yang turut mengikuti pengembaraannya di dalam bahasa Arab. Kebanyakan sarjana tersebut merupakan anak murid kepada guru yang pakar dalam bahasa Arab di Perancis iaitu Sylvestre de Sacy.

Pengisytiharan Bonaparte yang lain turut memperlihatkan kecenderungannya menarik perhatian penduduk Mesir bahawa beliau berjuang untuk Muslim. Perasaan tidak puas penduduk Mesir terhadap penindasan pemimpin Mamluk sebelum ini merupakan kesempatan atau peluang kepada Bonaparte meraih sokongan penduduk Mesir dalam pengisytiharan kependudukan beliau. Bonaparte menegaskan bahawa pengabdian beliau terhadap tuhan melebihi daripada apa yang diamalkan pemimpin Mamluk. Malah, beliau turut merayu kepada masyarakat Mesir bahawa kedatangan Perancis ke Mesir adalah demi membawa perubahan kepada penduduknya serta ikhlas terhadap Islam. Jaminan yang disampaikan Bonaparte kepada penduduk Mesir umumnya, serta tawaran kedudukan penting kepada ulama atau sarjana Mesir khususnya, secara tidak langsung “mengawal psikologi” penduduk Mesir untuk mengurangkan perasaan kurang senang terhadap penguasaan Perancis itu sendiri.


Albert Hourani. 1983. Arabic Thought in The Liberal Age, 1798-1939. Cambridge: Cambridge University Press.

Edward W. Said. 1978. Orientalism. London: Penguin Books.


Kongsikan Bersama