Hierarki Sosial Athens

Kongsikan Bersama

*Oleh: Jacqueline Salomi:)

Masyarakat di Athens boleh dibahagikan kepada empat kumpulan yang utama iaitu kelas atasan, kelas menengah, kelas rendah dan golongan hamba. Kelas pertama merupakan golongan atasan yang merupakan warganegara asal Athens dan bilangan mereka adalah kecil merangkumi lebih kurang 300 buah keluarga. Mereka merupakan golongan yang mendominasi segala aktiviti di negara kota. Status mereka sebagai warganegara Athens membolehkan mereka membeli tanah ladang yang bersaiz besar dengan harga yang rendah. Selain itu, mereka tidak melakukan sebarang pekerjaan seperti berniaga dan berdagang. Sebaliknya, mereka mendapatkan tenaga kerja lain atau hamba untuk mengendalikan perkerjaan atau harta bagi pihak mereka. Pengecualian dalam mengendalikan pekerjaan membolehkan mereka menumpukan perhatian sepenuhnya dalam urusan pemerintahan serta pentadbiran polis, peperangan, aktiviti kesenian dan intelektual.

Photo via: ancientgreecefacts.com
Golongan kelas menengah pula terdiri daripada golongan profesional tertentu seperti pedagang, kontraktor, pengurus dan tukang yang mahir. Golongan ini tidak mendapat status warganegara Athens, tetapi mempunyai kebebasan bergerak dalam sesebuah polis atau negara kota. Manakala golongan kelas rendah pula merupakan individu bebas yang kadang kala menjadi hamba. Golongan hamba merupakan kumpulan yang menduduki hierarki sosial paling rendah dalam masyarakat di Athens. Hamba yang dimaksudkan ialah golongan yang dikerah tenaganya secara percuma dan mereka ini dikuasai secara mutlak oleh individu yang memilikinya. Hal ini menunjukkan bahawa hamba merupakan harta bagi pemilik hamba.
Photo via: hellenicaworld.com
Golongan hamba di Athens tidak boleh memiliki harta, tidak boleh memasuki gimnasium, tidak boleh melibatkan diri dalam hal ehwal politik polis dan tidak boleh mengundi. Di samping itu, golongan hamba juga tidak boleh menjadi warga polis, tidak dibenarkan menggunakan nama sendiri dan bebas dipanggil dengan gelaran tertentu oleh pemilik mereka. Di Athens, hamba wanita dikerah untuk melakukan kerja-kerja domestik manakala hamba lelaki pula digunakan sebagai pembantu pegawai awam, anggota keselamatan dan pembantu kerani.


Zulkarnain Abdul Rahman. 2002. Tamadun Eropah Klasik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

W.G.Forrest. 1966. The Emergence of Greek Democracy: The Character of Greek Politics, 800-400 B.C. London: Weidenfeld and Nicolson.


Kongsikan Bersama