Penyelesaian keadaan ini adalah dengan membawa masuk bekalan candu oleh British demi mengimbangkan perdagangan teh di China. Candu asalnya diperkenalkan oleh orang Arab sewaktu Dinasti Tang dan Turki pada akhir abad ke-7 dan awal abad ke-8. Candu bukanlah barang dagangan baru yang diperniagakan oleh orang Barat di China kerana pada mulanya candu digunakan sebagai ubat tetapi kemudian menjadi sejenis bahan hisapan. Orang Cina memanggil candu sebagai ying-su, mi-nang, fu-yung atau po-pi (poppy) yang berfungsi mengurangkan kesakitan dan mengurangkan ketegangan.
Sebelum tahun 1750, jumlah candu yang dibawa masuk tidak lebih daripada 400 peti setahun. Sungguhpun demikian, pada tahun 1773, apabila British terlibat dalam perdagangan ini, sebanyak 1,000 peti candu dibawa masuk ke China. Antara tahun 1800- 1821, didapati lebih kurang 4,500 peti candu dibawa masuk setiap tahun. Keadaan ini sudah tentu menimbulkan kemarahan pemerìntah China. Antara tahun 1821 hingga 1839, jumlah candu yang diimport telah meningkat kepada 40,200 buah peti. Hal ini mengakibatkan imbangan perdagangan tidak menguntungkan China. Pengimportan candu menyebabkan pengaliran keluar wang perak yang telah menjejaskan ekonomi kerajaan Manchu. Hal ini kerana satu peti kotak candu berharga antara 400-500 dolar China dalam wang perak bergantung pada kualiti candu tersebut.
Pemerintah kerajaan Manchu semakin bimbang berikutan kemasukan candu yang begitu berleluasa menyebabkan timbulnya masalah sosial dan kesihatan. Misalnya, kesan penagihan candu berlaku yang awalnya berlaku dalam kalangan anak muda daripada keluarga kaya kian menular kepada wanita, pedagang, askar, golongan agama, golongan sida-sida, pegawai dan pengawal istana. Pegawai buruh pula menggunakan separuh gaji untuk membeli candu. Sebelum tahun 1839, dianggarkan terdapat 210 juta penagih candu di China. Imbangan perdagangan merugikan China kerana nilai candu yang diimport sahaja telah melebihi nilai segala barang lain yang dieksport. Ini menyebabkan berlakunya pengaliran keluar wang perak empayar China untuk membayar import candu. Keuntungan besar British menerusi perdagangan candu ini menyebabkan bertambahnya penyeludupan candu ke China.
Ringkasnya, China menganggap isu candu sebagai asas persengketaan mereka dengan British. Kerajaan Manchu tidak mampu untuk mengekang ketagihan candu dalam kalangan pegawai atasan mahupun rakyat bawahan hingga menyebabkan ekonominya lumpuh.