Kemampuan Pembesar Johor: Sekat Penguasaan British Hingga 1914

  • Post category:Politik
Kongsikan Bersama

*Oleh: Thaayalini:)

Johor merupakan negeri Melayu terakhir menerima Penasihat British pada awal abad ke-20. Meskipun penglibatan British di Johor dikesan sejak kedatangan Stamford Raffles menerusi pembukaan Singapura pada tahun 1819, Johor merupakan satu-satunya negeri Melayu yang berhasil melewatkan penguasaan British. Keadaan tersebut menyebabkan pemerintah atau sultan negeri-negeri lain pada ketika itu turut menyedari atau mengakui kemampuan Johor dalam mentadbir wilayahnya seperti yang dinyatakan oleh Andaya.

Pembesar-pembesar di Johor awal abad ke-20 telah memainkan peranan dalam menjamin kedaulatan Johor. Terdapat empat orang pembesar utama yang merupakan tulang belakang kepada kemajuan di Johor. Antaranya adalah Dato’ Jaafar bin Haji Muhammad, Dato’ Abdul Rahman bin Andak, Dato’ Muhammad Ibrahim bin Munsyi dan Dato’ Muhammad Salleh bin Perang.

Dato' Jaafar Muhammad

Dato’ Jaafar merupakan Menteri Besar Johor yang pertama, dan beliau membuat beberapa pembaharuan di Johor. Misalnya, beliau mewajibkan pegawai British memakai pakaian rasmi negeri Johor, mengarahkan bendera Union Jack dikibarkan lebih rendah daripada bendera negeri Johor serta menetapkan surat-surat rasmi kerajaan ditulis dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi.

Dato' Abdul Rahman Andak

Selain Dato’ Jaafar, Dato’ Abdul Rahman Andak juga memainkan peranan penting dalam usaha menjamin kedaulatan Johor. Tugas beliau adalah mengawal hal ehwal luar negeri Johor untuk menghalang penjajahan British di Johor. Beliau telah menghalang pembinaan landasan kereta api merentasi Johor ke Singapura. Pada masa yang sama, beliau turut memastikan hubungan persahabatan dengan pegawai British terus terjalin. Beliau bertindak demikian untuk mengelakkan Johor menjadi naungan British. Semasa pemerintahan Sultan Abu Bakar, Dato’ Abdul Rahman telah menasihati sultan untuk tidak menerima Penasihat British demi mempertahankan kedaulatan negeri Johor.

Pembesar Johor yang memiliki kewibawaan berikutnya ialah Dato’ Muhammad Salleh Perang. Beliau bertanggungjawab dalam membuat perancangan pembangunan negeri Johor dengan melukis peta negeri Johor bagi memudahkan urusan pembangunan negeri. Beliau yang juga merupakan Dato Bentara bertanggungjawab menjaga keamanan dan kestabilan negeri Johor. Akhir sekali ialah kewibawaan Dato’ Muhammad Ibrahim Munsyi. Beliau dilantik sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Johor pada tahun 1893. Tanggungjawab beliau bertumpu kepada memajukan pendidikan moden di Johor. Justeru, antara sumbangan penting beliau adalah mendirikan banyak sekolah di Johor serta mendesak supaya semua rakyat Johor diwajibkan mendapat pendidikan

Dato' Ibrahim Munsyi

Kesimpulannya, jelaslah kewibawaan pembesar-pembesar di Johor merupakan antara faktor yang menyekat penguasaan British di Johor hingga tahun 1914. Kewibawaan pembesar Johor ini membuktikan bahawa masyarakat Melayu memiliki kecekapan dalam mentadbir meskipun dinafikan oleh British dalam menjustifikasikan penjajahan yang mereka lakukan.

Abd. Jalil Borham. 2002. Majalah Akham Johor. Johor: Penerbit UTM.

Barbara Watson Andaya & Leonad Y. Andaya. 2001. A History of Malaysia. Hampshire: Palgrave.

Noor Azman Mahat, “Belajar Sejarah”, (diakses pada 24 Ogos 2019)http://belajarsejarah.blogspot.com/2009/08/siapakah-dato-andul-rahman-andak-dalam.html


Kongsikan Bersama