Kerajaan Srivijaya: Pusat Pengajian Sanskrit dan Buddha

Kongsikan Bersama

*Oleh: Ezafel Hakimi:)

Srivijaya merupakan sebuah kerajaan maritim di Sumatera. Srivijaya mempunyai pengaruh cukup kuat di Nusantara dengan penguasaan terhadap wilayah di Kemboja, Thailand, dan Semenanjung Tanah Melayu. Kerajaan ini sangat terkenal dan banyak direkodkan dalam catatan China terutamanya oleh I-Ching. Kerajaan Srivijaya juga banyak dipengaruhi oleh kebudayaan India dalam mentadbir kerajaan mereka.

Photo by: indianisationinsea.weebly.com (ed)
Pengaruh sistem kasta yang dibawa oleh masyarakat India ke Asia Tenggara mengubah sistem sosial masyarakat tempatan. Masyarakat mula dipisahkan kepada dua kelas manusia iaitu golongan raja dan bangsawan serta golongan rakyat jelata. Kerajaan Srivijaya dipercayai turut mengadaptasi sistem kasta ini. Terdapat dua kelas utama dalam kerajaan Srivijaya iaitu golongan pemerintah dan golongan diperintah. Kelas ini dibahagikan lagi kepada empat golongan iaitu golongan raja, bangsawan, orang merdeka dan hamba abdi. Perkara ini dibuktikan dengan penemuan inskripsi Kota Kapur yang menunjukkan wujud keistimewaan untuk golongan raja. Manakala inskripsi Telaga Batu dan inskripsi Talang Tuwo membuktikan kewujudan orang merdeka serta hamba abdi.
Photo by: ancient-origin.net (ed)
Menurut catatan I-Ching bertarikh 671 Masihi, Srivijaya adalah pusat pengajian bahasa Sanskrit dan pusat penyebaran agama Buddha yang terkenal. Usaha untuk memperbaiki diri dan masyarakat telah menjadi satu faktor yang membawa kepada ramainya masyarakat tempatan yang mula bermusafir mencari ilmu di negara lain. Aktiviti ini secara tidak langsung menyemarakkan lagi penyebaran dan pembelajaran ilmu agama dan bahasa Sanskrit. Semangat penduduk tempatan dalam menyerap kebudayaan India bukan hanya terbatas dengan membawa tokoh-tokoh Brahmin ke Nusantara, bahkan mereka juga telah mengirimkan orang tempatan sendiri ke India untuk mempelajari ajaran Buddha. Penganut-penganut Buddha pada zaman Srivijaya telah dihantar ke India untuk memperdalami agama ini di Universiti Nalanda yang ditubuhkan pada abad ke-5 Masihi. Golongan ini kemudiannya menyampaikan pengetahuan yang dipelajari mereka setelah pulang ke tanah air. Universiti tersebut didakwa memiliki seorang mahaguru Buddha-Mahayana yang terkenal iaitu Dharmapala.
Photo by: factsofindonesia.com (ed)

Hasilnya, Srivijaya telah berjaya mewujudkan sebuah pusat pengajian tinggi agama Buddha dalam kerajaan mereka. Perkara ini mendorong berlakunya perkembangan agama Buddha sama ada dalam kalangan masyarakat tempatan Srivijaya mahupun wilayah-wilayah di sekitar Asia Tenggara.


Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman & Zuliskandar Ramli. 2018. Prasejarah dan Protosejarah Tanah Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tadbika Srinivasan. 2006. Culture of The World India. Singapore: Star Standard Industries Pte Ltd.

Srikandi al-Semantani & Ibnu Rusydi. 2015. Membongkar Rahsia Dunia Melayu. Selangor: Hijaz Records Publishing.


Kongsikan Bersama