Peribadi Pemimpin/Raja Dambaan Orang Melayu: Hikayat Pahang

Kongsikan Bersama

*Oleh: Birru Aidan:)

Hikayat Pahang yang tidak mempunyai penulis merupakan salah satu teks atau manuskrip Melayu berharga. Pihak British yang membaca teks-teks hikayat Melayu seringkali menfokuskan penguasaan raja dalam politik yang didorong oleh matlamat raja terhadap kepentingan ekonomi menerusi kegiatan monopoli. Namun begitu, teks Melayu pada hakikatnya memiliki tafsiran berbeza dari kaca mata Eropah. Hikayat Pahang apabila diteliti berdasarkan perspektif masyarakat Melayu sebenarnya memiliki keunikan tersendiri terutama berhubung ciri atau kualiti pemimpin yang diharapkan atau didambakan oleh orang Melayu.

Photo by: khazanahbendaharaserimaharaja.com (ed)
Anak kepada Bendahara Ali iaitu Bendahara Ahmad dalam Hikayat Pahang digambarkan sebagai pemimpin yang bijak mengambil hati rakyat. Beliau dilihat mewarisi tingkah laku atau karakter ayahandanya Bendahara Ali yang pandai berbicara manis serta menitikberatkan nilai kesopanan ketika berhadapan dengan semua pengiring dan hamba sahaya. Pengikut yang bekerja dengan Bendahara Ahmad rela berkorban jiwa seperti yang dinyatakan di dalam hikayat tersebut tanpa ragu sebagai simbol kesetiaan. Justeru, Hikayat Pahang menjelaskan bahawa pemimpin atau raja yang menyantuni rakyat akan mendapat sokongan dan kesetiaan rakyat. Hal ini berbeza dengan Koris anak Mutahir (Abang kepada Bendahara Ahmad) yang diperikan Hikayat Pahang sebagai sombong serta tidak memaparkan nilai kesantunan sehingga tidak diterima rakyat. Contohnya, Koris pernah “mengejek” angkatan tentera Pahang sendiri dengan menggelar mereka sebagai perempuan.
Photo by: kaskus.co.id (ed)
Ungkapan tersebut dibuat Koris ketika beliau dilihat mengagumi persembahan tarian perang daripada pahlawan Bugis. Laporan Siam seperti yang dinyatakan oleh Milner juga menunjukkan rakyat Pahang lebih menyukai Ahmad. Hal ini diperkuatkan oleh kenyataan Gebenor Singapura pada abad ke-19 berikutan Ahmad dikatakan begitu baik kepada rakyatnya.

Justeru, sejarawan seperti Milner memberi sumbangan kepada masyarakat bahawa bahawa hikayat juga menjelaskan ciri-ciri pemimpin yang diharapkan oleh rakyat yang diabaikan oleh perspektif kolonial atau Eropah. Raja yang baik, adil, mempunyai tingkah laku sopan, berbicara manis dan lemah lembut menjadi pilihan rakyat pada pertengahan abad ke-19. Tidak hairanlah, kesopanan dan kesusilaan menjadi satu daripada rukun negara Malaysia disebabkan ia sinonim dengan masyarakat Melayu.

Kalthum Jeran. 1986. (ed). Hikayat Pahang. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.

Milner, A. 2016. (ed). Kerajaan: Budaya Politik Melayu di Ambang Pemerintahan Kolonial. (Terj. Ruhan Shahrir et. al) Petaling Jaya: Strategic Information and Research Development Centre.


Kongsikan Bersama