Toleransi Turki Uthmaniyah: Dilema Kepimpinan Islam

  • Post category:Politik
Kongsikan Bersama

*Oleh: Birru Aidan:)

Abad ke 17 dan 18 menyaksikan Turki Uthmaniyah mula menghadapi tekanan dari pihak Barat dan semakin meruncing abad ke 19 dan 20. Perluasan kuasa Istanbul di wilayah Balkan seperti Montenegro, Serbia, Bulgaria dan Greek menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan pihak Barat. Selepas kematian Sultan Sulaiman al-Qanuni pertengahan abad 16, pertandingan merebut jawatan Sultan berlaku sesama golongan kerabat. Kelemahan Khalifah Turki Uthmaniyah ketika itu diburukkan lagi dengan kemunculan golongan harem diraja iaitu bonda kepada sultan atau permaisuri yang mengawal sultan dengan tidak menggalakkan mereka menyertai peperangan.  Zaman yang dikenali sebagai Sultanate of Women tersebut menjadi antara sebab kepada penguasaan Barat dalam empayar Turki Uthmaniyah ekoran kepimpinan Khalifah semakin dilihat merosot oleh pihak Barat. Malah, penghapusan sistem tentera Janissari (tentera elit Turki yang asalnya kanak-kanak dirampas semasa perang) oleh Sultan Mahmud II, serta pelaksanaan Nizam I Cedid atau sistem ketenteraan ala Eropah menyebabkan pegawai kerajaan dan ulama mempertikaikan usaha sultan tersebut.

Tahun 1839 memperlihatkan pembaharuan cuba dilakukan oleh Sultan Abdul Majid menerusi dasar Tanzimat bertujuan menyelamatkan Turki Uthmaniyah dari aspek pemerintahan. Tanzimat dilancarkan pada tahun tersebut dengan sebuah piagam iaitu Hatt-i-Shariff Gulhane sebagai reaksi sultan berhadapan dengan pihak Barat. Antara jaminan terpenting dalam piagam tersebut adalah jaminan nyawa kepada semua bangsa dalam empayar Turki sama ada golongan Islam atau bukan Islam. Namun Rusia, British dan Perancis merupakan antara kuasa Barat yang seringkali mendorong golongan bukan Islam seperti di wilayah Balkan supaya melancarkan pemberontakan dengan menuntut hak kesamarataan. Sultan Abdul Majid seterusnya menggunakan pendekatan toleransi dengan menambahbaik Tanzimat menerusi perlaksanaan Hatt-i-Humayun. Piagam tahun 1856 tersebut menyaksikan beberapa pembaharuan dengan memberi tumpuan kepada rakyat Turki berbangsa Eropah. Contohnya, hukuman bunuh kepada golongan murtad dihapuskan dan bank-bank asing dibenarkan untuk ditubuhkan di dalam empayar Turki Uthmaniyah. Namun, ketiadaan peruntukan hukuman mati dalam dasar tanzimat kepada pesalah yang membunuh seseorang individu membimbangkan masyarakat Muslim empayar tersebut.

Secara ringkasnya, Tanzimat merupakan satu cara untuk Turki Uthmaniyah bertoleransi dengan tuntutan kesamarataan yang berterusan oleh rakyat bukan Muslim dalam empayarnya, hasil tekanan kuasa Eropah. Sungguhpun demikian, pendekatan toleransi yang dilakukan oleh Sultan Uthmaniyah dilihat pula sebagai satu peluang kepada Eropah. Hourani contohnya menegaskan kedua-dua piagam tersebut hakikatnya memberikan kuasa Barat ruang untuk mencampuri urusan Turki Uthmaniyah, meskipun jaminan paling utama telah diperuntukkan kepada rakyat berbangsa Eropah dalam empayar Turki Uthmaniyah iaitu KESELAMATAN dan NYAWA.

Albert Hourani. 1983. Arabic Thought in The Liberal Age, 1798-1939. Cambridge: Cambridge University Press.

Selim Deringil. 2012. Conversion and Apostasy in the Late Ottoman Empire. New York: Cambridge University Press.

 


Kongsikan Bersama