Malique Menenangkan Intelek

Kongsikan Bersama

*Oleh: Zamarul Hashim:)

Malique pernah mencetuskan fenomena dengan kemunculan pertamanya bersama Joe Flizzow dalam kumpulan Hip Hop mereka yang dikenali Too Phat sekitar tahun 1998-1999. Too Phat dianggap sebagai kumpulan artis pertama Malaysia yang menggabungkan elemen Hip Hop dengan elemen muzik tradisional Melayu. Contoh gabungan elemen tersebut boleh kita lihat dalam muzik lagu mereka berjudul Anak Ayam dan Ala Canggung. Antara album Malique dan Joe Flizzow dalam Too Phat peringkat awal ialah Whutthadilly (1999), Plan B (2001) dan 360 (2002). Namun, tahun 2007 adalah tahun terakhir Malique melakukan persembahan dengan kumpulannya iaitu Too Phat dan seterusnya bergerak sebagai artis solo, komposer dan penerbit lagu yang berunsurkan rap.

Photo by: genius.com (ed)
Berdasarkan pemerhatian saya terhadap penerimaan “golongan tua” di kampung awal 2000, mereka kurang cenderung dengan lagu Anak Ayam dan Ala Canggung apabila rumah-rumah di kampung atau deejay “zaman rewang” memutarkan lagu ini. Ia disebabkan lagu Hip Hop tersebut dirasakan oleh golongan mak cik-pak cik rewang (saya minta izin menggunakan bahasa masyarakat era 2000) bersifat urban serta penggunaan bahasa Inggeris yang asing bagi masyarakat di kampung. Tetapi, saya perhatikan pelajar-pelajar sekolah menengah sezaman saya waktu itu sangat terhibur dengan lagu tersebut. Contohnya, apabila lagu Anak Ayam versi Inggeris dimainkan, pelajar-pelajar lelaki khususnya yang memilih belakang bas sebagai “port golongan elegan” akan turut sama menyanyi tetapi menyunting lagu tersebut-dengan menyanyi secara kolektif “Anak la ayam, anak ayam turun sepuluh, mati seekor, mati seekor tinggal sembilan…”. Hanya satu perkataan “Ya A Aww” tepat disebut sebagaimana lagu Anak Ayam versi Inggeris tersebut.
Photo by: schoolfleet.com (ed)
Namun, Lagu Alhamdulillah yang diterbitkan sekitar tahun 2003 (apabila Malique masih bersama Too Phat) memperlihatkan satu fenomena luar biasa. Luar biasa disini bukan menjurus kepada hasil penjualan albumnya, tetapi dari segi penerimaan masyarakat. Alhamdulillah seolah-olah merupakan petunjuk kepada Malique untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dengan lebih bermakna selepas mengambil keputusan untuk tidak bersama Too Phat sejak 2007.
Photo by: zmandin@youtube.com (ed)
Meskipun tahun 2008 terdapat pandangan peminat yang sangsi keupayaan Malique bergerak secara solo menerusi album “OK”, namun beliau memaparkan kesungguhan berterusan menghasilkan sumbangan dalam bidang seni menerusi bait-bait dan lirik yang bermakna kepada masyarakat. Lagu-lagunya seperti Mentera Beradu (ft M. Nasir); Aku Maafkan Kamu (ft. Jamal Abdillah) dan lagu kolobrasinya bersama artis-artis lain seperti Perang Dah Tamat, Bukan Mudah, Pejamkan Mata pada hakikatnya memiliki minat yang tersendiri dalam kalangan pelajar-pelajar universiti khususnya tahun 2010 hingga kini. Malah, terdapat penuntut-penuntut sarjana dan Phd dalam perbincangan tidak rasmi saya bersama rakan-rakan di ruang legar Fakulti Sastera Universiti Malaya turut mengakui manfaat yang diterima mereka daripada karya Malique. Menurut mereka, lagu-lagu karya Malique dijadikan sebagai pembakar semangat ketika sedang bergelut menyiapkan tesis, assignment dan sebagainya. Ini kerana kandungan lagu-lagu Malique sesuai dengan cita rasa mereka untuk mendapatkan hiburan yang menyedarkan mereka tentang tujuan atau perjuangan hidup iaitu bangkit untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan mengingatkan hakikat diri kepada pencipta.
Photo by: thethinkingmuslim.com (ed)

Meskipun beliau dilihat oleh peminatnya mengambil pendekatan “masuk gua, tidak keluar public” terdapat beberapa nilai atau ibrah yang boleh kita ambil daripada pendekatan dan perjuangan Malique dalam dunia hiburan, khususnya selepas tahun 2007. Pertama, pendekatan beliau memperlihatkan seruannya kepada masyarakat bahawa kehidupan bukan berteraskan hedonisme semata-mata, sebaliknya tujuan hidup sebenar adalah untuk memberi semangat, galakan meneruskan kehidupan kepada masyarakat, kerana akhirnya masing-masing akan menghadap pencipta. Kedua, beliau membuktikan bahasa Melayu adalah bahasa yang indah apabila dimartabatkan dalam seni rap berbanding penglibatan awalnya dalam seni huiburan. Ketiga, beliau membuktikan tanpa pemaparan fizikal (visual appearance) di khalayak awam, seseorang anak seni masih disanjungi peminat lanjutan manfaat bait-bait indah yang mereka terima khususnya menerusi media atau platform digital.

Rujukan latar belakang Malique:

– www.maliqueibrahim.com

– Melissa Urusla Dawn Goldsmith & Anthony J. Fonseca (eds). 2019. Hip Hop Around The World: An Encyclopedia. Californea: Greenwood.



Kongsikan Bersama