Epistemologi Melayu

Kongsikan Bersama

*Oleh: Ezafel Hakimi:)

Melayu merujuk kepada sesuatu bangsa dan bahasa yang mendiami seluruh daerah Nusantara di Asia Tenggara. Pentakrifan Melayu berdasarkan perlembagaan persekutuan dalam perkara 160 (2) mendefinisikan Melayu itu sebagai seorang yang menganuti agama Islam, lazimnya bercakap bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu.

Photo by: languagesoftheworld.info (ed)
Melayu menurut takrifan United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) merupakan satu keluarga bangsa yang mempunyai bahasa yang sama, bentuk fizikal tubuh badan yang hampir sama, berkulit sawo matang, rambut lurus dan tinggi yang sederhana. Mereka ini adalah penduduk asli di satu kawasan yang sangat besar, iaitu dari Madagaskar di pantai timur benua Afrika di barat hingga ke Pulau Paskah di lautan Pasifik. Melayu merupakan satu bangsa yang sejak beberapa beberapa ribu tahun sebelum masihi dikenali sebagai Malayo-Polynesia atau Austronesia. Berdasarkan penyelidikan pengkaji bahasa, penutur proto-Malay (bahasa awal kepada dialek-dialek Melayu) berpunca daripada Boneo Barat sejak tahun 1000 SM. Penutur Melayu (Malayic speakers) ini kemudiannya meninggalkan petempatan di Borneo Barat sekitar tahun 100 masihi menuju ke Sumatera dan Semenanjung Tanah melayu. Sehubungan itu, Melayu merangkumi pelbagai suku kaum seperti Dayak, Aceh, Batak, Lampung, Sunda, Jawa, Bugis, Filipino dan lain-lain. Melayu itu dikatakan terbit daripada perkataan Sanskit ‘Malaya’ atau daripada perkataan Tamil ‘Malai’ yang ertinya ‘bukit’ atau ‘tanah tinggi’. Orang Portugis menyebutnya sebagai ‘Malayo’. Mengikut sejarah, bangsa Melayu mendiami sebuah kawasan anak sungai bernama Sungai Melayu di hulu Sungai Batang Hari atau sekarang dikenali dengan nama Sungai Jambi. Di kawasan hulu Sungai Jambi tersebut terdapat sebuah Kerajaan Melayu yang dikenali sebagai Kerajaan Srivijaya atau Palembang Tua.
Photo by: fyumul.blogspot.com (ed)
Orang Melayu dapat ditafsir dari dua sudut, iaitu dari sudut sosiobudaya dan perlembagaan. Menurut Syed Husin Ali, dari sudut sosiobudaya orang Melayu bukan sahaja terdapat di Semenanjung tetapi di tempat lain seperti kepulauan Filipina dan Indonesia yang disebut sebagai Nusantara. Walaupun pertuturan dalam dialek dan loghat yang berbeza, kebanyakan sarjana berpendapat kesemua masyarakat ini adalah dibawah satu rumpun yang sama iaitu Melayu. Namun demikian, setelah kedatangan kuasa-kuasa asing di Nusantara, ikatan kekuatan Melayu ini telah dipisahkan. Kewujudan kolonial Belanda di Indonesia, Sepanyol di Filipina, British di Malaya telah menyebabkan kewujudan orang Melayu itu dinilai berdasarkan negara. Oleh sebab itu, terbentuklah Melayu Malaysia, Melayu Indonesia, dan Melayu Brunei.
Photo by: gomelaka.my (ed)
Orang Melayu menganggap diri mereka sebagai penduduk asal serta bangsa pentakrif kepada Tanah Melayu. Keadaan ini menurut Andaya bermula sejak pengasasan kesultanan Melayu Melaka pada abad ke 15. Meskipun tiada bukti jelas menunjukkan penduduk zaman pra Melaka (sebelum 1400) mengaitkan mereka sebagai sebahagian daripada Tanah Melayu, kedatangan putera Palembang dan pengikutnya ke Melaka membawa perubahan kepada pembentukan imej, bahawa Melaka adalah pusat baharu kerajaan Melayu berbanding kerajaan sebelumnya iaitu Srivijaya dari Sumatera. Justeru, persaingan politik menuntut pusat kerajaan Melayu berpihak kepada Malaysia. Ini kerana usaha untuk mempopularkan “Melayu” yang berpunca dari Kesultanan Melayu Melaka giat dijalankan oleh penulis-penulis Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Siak serta tuntutan politik terhadap identiti Melayu oleh kerajaan Johor Lama.
Photo by: ahmadalikarim.wordpress.com (ed)

Pembentukan Malaysia memperluaskan penggunaan istilah Bumiputera yang berkait dengan penduduk Sabah, Sarawak dan Semenanjung Tanah Melayu. Ia bagi merujuk kepentingan tersendiri golongan penduduk ini dari aspek keabsahannya sebagai anak watan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak . Kepentingan tersebut merangkumi aspek seperti ekonomi, sosial serta yang paling penting iaitu politik. Oleh yang demikian, berdasarkan perlembagaan persekutuan Tanah Melayu, telah digariskan tentang hak istimewa golongan ini. Dalam perkara 153 contohnya memperuntukkan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong atau Ketua Negara dari segi tanggungjawab untuk memelihara hak dan keistimewaan Melayu dan Bumiputera. Hak keistimewaan itu merangkumi aspek perkhidmatan awam, biasiswa, pelajaran, latihan, pemberian permit dan lesen serta menjamin penglibatan Bumiputera dalam perniagaan.


Abdul Rashid Melebek & Amat Juhari Moain. 2005. Sejarah Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Syed Husin Ali. 1977. Masyarakat Melayu dan Pemimpin Kampung di Malaysia. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.

Andaya, L.Y. 2004. The Search for the ‘Origins’ of Melayu. Dlm. Contesting Malayness: Malay Identity Across Boundaries. Timothy P. Banard (ed). Singapore: Singapore University Press. hlm 56-75.

Lim Mah Hui. 1989. Ownership and Control of One Hundred Largest Corporations in Malaysia. New York: Oxford University Press.


Kongsikan Bersama