Taktik Seludup Barang Zaman Dahulu

Kongsikan Bersama

*Oleh: Anies Aqmaa Zainudi:)

Tahun 1970-an menyaksikan sempadan Malaysia-Thailand menjadi lokasi pilihan segelintir individu melibatkan diri dalam kegiatan penyeludupan barangan. Pada tahun 1971, kegiatan penyeludupan barangan seperti beras berlaku secara berleluasa di sempadan Malaysia-Thailand. Penyeludupan beras dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab ketika itu tanpa menggunakan sampan atau rakit. Ia berikutan kawasan Sungai Golok ketika itu airnya cetek dan diambil kesempatan oleh golongan penyeludup untuk merentasinya. Pada tahun 1974 pula, sempadan Malaysia-Thailand turut terdedah dengan kes penyeludupan meliputi kecurian kereta, lembu-kerbau dan penyeludupan senjata-senjata merbahaya. Terdapat beberapa modus operasi yang dilakukan oleh golongan penyeludup ini. Sebagai contoh, kereta yang dicuri akan dibawa ke Thailand oleh individu terbabit menggunakan perahu-perahu besar atau dibawa melalui jambatan baru Sungai Golok. Selain itu, gologan penyeludup turut bertindak menyamar diri sebagai pemilik kenderaan tersebut. Hal ini membimbangkan sehingga timbul saranan daripada masyarakat supaya kerajaan dapat mengawal dan memperbanyakkan rondaan-rondaan jalan raya di kawasan sempadan Malaysia-Thailand terutamanya pada waktu malam, serta menambahkan relawan-relawan di sempadan itu.

Penyeludupan senjata pula turut meluas kegiatannya di sempadan Malaysia-Thailand pada pertengahan tahun 1970-an. Pada tahun 1977, pasukan tentera Malaysia yang memburu musuh di sekitar Ayer Berchang berhampiran dengan sempadan Perak telah menemui lima buah kubur yang baru digali di satu kawasan perkuburan Cina. Keranda dalam kubur-kubur berkenaan didapati telah dibuka tetapi tiada tanda yang menunjukkan bahawa keranda tersebut digunakan untuk menanam mayat. Panglima tentera Malaysia, Brig. Gen. Hassan Haji Mohamed Salleh menjelaskan berdasarkan laporan-laporan yang diperoleh dari perisik bahawa pengganas-pengganas komunis telah menggunakan keranda-keranda tersebut sebagai modus operasi menanam senjata-senjata mereka di dalam kubur. Manakala pada tahun 1980, kegiatan penyeludupan yang melibatkan emas, berlian, narkotik turut berlaku di sempadan Malaysia-Thailand.
Photo via: totalwomenscycling.com

Di Malaysia, khususnya di negeri Kedah yang bersempadankan Thailand, para penyeludup mula dikesan menggunakan cara baharu untuk menyeludup dadah dari seberang sempadan Thailand. Unit Pencegah Penyeludupan Malaysia mendapati para penyeludup menggunakan basikal untuk membawa masuk dadah. Tindakan tersebut dilakukan oleh penyeludup dengan sangkaan bahawa cara berbasikal tidak mudah menimbulkan syak wasangka dari pihak berkuasa. Ringkasnya, tahun 1970 hingga 1980 memperlihatkan pelbagai taktik atau modus operandi dilakukan oleh segelintir individu untuk menyeludup barangan melalui sempadan Malaysia-Thailand. Sungguhpun demikian, pihak keselamatan kedua-dua buah negara tidak memandang ringan keadaan tersebut dan mengambil langkah-langkah sewajarnya dalam mengekang jenayah tersebut daripada menular.


Penyata Rasmi Parlimen Malaysia. Dewan Rakyat. Parlimen Ketiga. Penggal Pertama. 19 Mac 1971.

Penyata Rasmi Parlimen Malaysia. Dewan Rakyat. Parlimen Keempat. Penggal Pertama. 16
Disember 1974.

Berita Harian, 11 November 1975.

Berita Harian, 5 Ogos 1977.

Berita Harian, 17 Ogos 1980.


Kongsikan Bersama