Tanah Melayu Menuju Kemerdekaan

  • Post category:Politik
Kongsikan Bersama

*Oleh: Jacqueline Salomi:)

Kemenangan yang diperoleh melalui pilihan raya tahun 1955 telah mendorong Parti Perikatan meneruskan desakan untuk mempercepatkan kemerdekaan bagi Tanah Melayu. Semasa ucaptama Tunku Abdul Rahman dalam Majlis Undangan Persekutuan, beliau telah menegaskan untuk berunding dengan pihak British bagi mencapai kemerdekaan dalam tempoh lebih kurang dua tahun sahaja. Pada bulan Jun 1956, satu rombongan yang terdiri daripada lapan orang wakil telah berangkat ke London. Rombongan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman ini bertujuan untuk berunding dengan para pegawai British sebagai usaha menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Perundingan kemerdekaan ini berlangsung dari 18 Januari hingga 8 Februari 1956. Sebelum bertolak, wakil-wakil Parti Perikatan dan Raja-raja Melayu telah mencapai kata sepakat dan ini memudahkan rundingan berjalan dengan lebih lancar. Pihak British diketuai oleh Lord Lennox Boyd, Setiausaha Tanah Jajahan British.

Photo via: kumpulansatusejarah.blogspot.com
Beberapa persetujuan telah berjaya dihasilkan iaitu kerajaan British bersetuju memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu berada dalam lingkungan komanwel dan menjalankan pemerintahan secara demokrasi. British juga mendapat hak menempatkan tenteranya di Tanah Melayu dan sebuah badan bebas untuk menggubal Perlembagaan Tanah Melayu iaitu Suruhanjaya Reid ditubuhkan. Sementara itu, jawatan-jawatan Setiausaha Kewangan dan Pengarah Gerakan akan digantikan dengan jawatan-jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan yang disandang oleh penduduk tempatan. Kerajaan British juga akan membayar ganti rugi kepada pegawai-pegawai dagangnya yang akan diberhentikan berikutan kemerdekaan tersebut.
Photo via: mca.org.my

Pada bulan Jun 1956, Suruhanjaya Reid telah dibentuk untuk merangka perlembagaan persekutuan Tanah Melayu. Suruhanjaya itu telah dipengerusikan oleh Lord Reid dan dianggotai oleh pakar-pakar perlembagaan dari negara komanwel iaitu Sir Ivor Jennings (Britain), Sir William Mc Kell (Australia), Hakim B. Malik (India) dan Hakim Abdul Hamid (Pakistan). Suruhanjaya ini ditugaskan untuk merangka satu perlembagaan baharu untuk Tanah Melayu. Perlembangaan baharu tersebut perlu berasaskan beberapa syarat iaitu kerajaan persekutuan yang kuat, menjamin kedudukan raja-raja Melayu sebagai pemerintah berpelembagaan di negeri masing-masing, melindungi kepentingan sah kepentingan kaum bukan Melayu dan prinsip-prinsip demokrasi. Suruhanjaya Reid mengadakan sebanyak 118 kali mesyuarat antara bulan Jun hingga Oktober 1956. Rangka perlembagaan itu dikaji dengan teliti dengan mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada semua pihak. Pada bulan Mei 1957, sebuah jawatankuasa kerja ditubuhkan yang terdiri daripada 11 orang ahli untuk menyemak dan mengkaji laporan Reid sebagai asas kepada pembentukan perlembagaan Tanah melayu yang bakal merdeka.


Fuziah Shaffie & Ruslan Zainnuddin. 2000. Sejarah Malaysia. Shah Alam: Fajar Bakti Sdn Bhd.

Ruslan Zainuddin. 2003. Sejarah Malaysia. Shah Alam: Fajar Bakti Sdn Bhd.


Kongsikan Bersama