Teguran Ikhlas Siti Sianah Terhadap Wanita

Kongsikan Bersama

*Oleh: Ezafel Hakimi:)

Siti Sianah merupakan sebuah nama yang telah diadaptasi menjadi karya syair Raja Ali Haji yang dikenali dengan Syair Siti Sianah. Siti Sianah merupakan watak utama dalam syair ini iaitu anakanda kepada Siti Rubiyyah atau Siti Afifah, kakanda kepada Siti Dianah, dan bersuamikan seorang pendeta berketurunan bangsawan bernama Muhammad Zahid. Beliau merupakan seorang rubiah atau isteri pendeta yang berbudi bahasa, bersifat merendah diri dan berilmu pengetahuan tinggi, yang dapat menjadi teladan kepada para Muslimah yang menghadiri majlis usrah dalam syair ini.

Photo by: abc.net.au (ed)
Syair Siti Sianah, mengikut penomboran rangkap syair dalam Puisi-puisi Raja Ali Haji selenggaraan Abu Hassan Sham (1993), terbina daripada 574 buah rangkap syair, serta bermula dengan bahagian pendahuluan dan berakhir dengan bahagian kolofon. Dalam pada itu, rangkap 27 ialah ulangan rangkap 26 manakala rangkap 233 ialah ulangan rangkap 232. Mengikut Amida Abdul Hamid (2008), sekiranya ulangan itu dilakukan secara tidak sengaja, maka ini bererti Syair Siti Sianah terbentuk daripada 572 rangkap syair semuanya. Syair ini banyak ditujukan kepada kaum wanita iaitu merupakan dialog antara sekumpulan suri rumah tangga yang membicarakan hukum-hukum agama. Dengan kata lain, syair ini banyak membincangkan adab-adab yang perlu diadaptasikan dalam masyarakat Melayu tradisional. Misalnya, dalam karya ini disabitkan berkenaan nasihat dan pengajaran tentang adab isteri.
Photo by: insieme-syahid.blogspot.com (ed)
Adab al-Zaujah ‘ala al-zawaj iaitu “Adab Isteri Atas Suami” merupakan antara fasal yang terdapat dalam Syair Siti Sianah. Kandungan Syair Siti Sianah mencakupi keterangan tentang hukum syariah, tasawuf dan etika. Dalam bab hukum syariah, perkara wuduk, puasa dan zakat dihuraikan oleh Siti Dianah manakala kerumitan dalam hal-hal haid dan nifas, puasa dan zakat pula diterangkan oleh Siti Sianah. Seterusnya diperjelas oleh Siti Sianah juga dalam bab tasawuf tentang peranan mata, telinga, lidah, dua tangan, faraj dan dua kaki dan diterangkan penyalahgunaannya. Selain itu syair tersebut turut mengemukakan kaedah untuk memulihkan penyakit-penyakit pancaindera berkenaan. Selanjutnya, dalam bab etika dibicarakan adab-adab sebaiknya terhadap ibu bapa, saudara, bapa, hamba sahaya dan adab sebaiknya seorang isteri terhadap suami.
Photo by: insieme-syahid.blogspot.com (ed)
Rangkap di dalam fasal tersebut juga menerangkan bahawa hendaklah taat setia kepada suami. Segala keperluan suami hendaklah disediakan dengan secukupnya, makan minumnya, tempat tidurnya serta sakit peningnya. Syair Siti Sianah turut menyelitkan pengajaran supaya kita tidak berbangga diri dengan kesempurnaan yang dimiliki, martabat atau bangsa yang mulia atau usia yang muda. Secara keseluruhannya, syair ini memberi nasihat kepada kaum wanita supaya jangan berjalan-jalan ke sana ke mari atau suka menjerit-jerit dan marahkan suami. Bagi perempuan yang melacurkan diri setelah mendengarkan suaminya beristeri lagi, dianggap perangai yang laknat dan akan dikutuk Tuhan.
Photo by: debate.org (ed)

Syair tersebut turut memuatkan tingkah yang sinonim dengan sebahagian wanita terhadap suami seperti mengamuk dan meminta cerai, ada pula yang berleter tiada berhenti. Perempuan yang begini dilabel sebagai perempuan tidak baik. Tambahan pula, syair ini merangkumi juga fasal yang mencirikan tanda-tanda perempuan derhaka, bermasam muka dengan suami, enggan tidur bersama, tidak menurutkan kesukaan suami, berjalan tanpa izin atau mengunci pintu rumah. Jelasnya, syair ini menasihatkan bahawa sifat hormat menghormati merupakan adab yang telah lama dipraktikkan dalam masyarakat Melayu. Salah satunya ialah menghormati orang suami yang merupakan satu amalan yang penting dalam masyarakat Melayu dan hal ini sangat ditekankan dalam Islam. Syair berikut menjelaskan pentingnya menghormati dan menjaga adab dengan suami supaya tidak dimurkai Allah.

Arba’iyah Mohd Nor, Mohd Hanafi Ibrahim. 2015. Raja Ali Haji Pemikir Ulung Alam Melayu Abad ke-19. Batu Caves: PTS Publications & Distributors.

Wong Aw Lam Chee dan Nik Safiah Karim. 2015. “Syair Siti Sianah: Raja Ali Haji Poetic Characteristics from a Linguistic Perspective”. Bil. 3. International Journal of the Malay World and Civilization (Iman).


Kongsikan Bersama