Perkembangan Buddha di Srivijaya

Kongsikan Bersama

*Oleh: Ezafel Hakimi:)

Makluman berhubung penyebaran agama Buddha di Srivijaya boleh diperolehi menerusi catatan I-tsing iaitu seorang pengembara dari China. I-tsing menyatakan bahawa di dalam kota-kota di Srivijaya tahun 671 Masihi terdapat lebih seribu orang rahib Buddha melaksanakan kerja-kerja amal di kota tersebut. Mereka juga melakukan kerja-kerja penyelidikan dan mengkaji mata pelajaran yang akan diajar kepada masyarakat Srivijaya berkenaan agama Buddha. .

Photo via: indephedia.com
Golongan rahib Buddha juga memainkan peranan dengan menyebarkan undang-undang dan perayaan yang berkait rapat dengan ajaran Buddha dari India. Di samping itu, I-tsing menyatakan bahawa sebuah kitab agama Buddha iaitu Yogacharyabhumisatra terdapat di Srivijaya. Kitab ini menjadi rujukan kepada pengikut mazhab Yogachara atau Wijnanawadin. Kitab ini ditulis oleh Asanga yang merupakan pengasas kepada mazhab tersebut. Yogacharyabhumisatra dijadikan sebagai bahan rujukan serta kajian kerana pengikut mazhabnya mendapati ia adalah aliran spiritual yang penuh mistik.
Photo via: versesofuniverse.blogspot.com
Pengukuhan agama Buddha di wilayah-wilayah taklukan Srivijaya pula masih diperdebatkan. Ia berikutan perluasan kuasa yang dijalankan oleh Srivijaya lebih tertumpu kepada matlamat perdagangan. Contohnya, penaklukan ke atas Tanah Melayu (Jambi) dijadikan sebagai kawasan pelabuhan utama Srivijaya kerana berada di laluan Selat Melaka. Srivijaya turut menakluk kawasan-kawasan di kawasan semenanjung (Tanah Melayu). Pada peringkat permulaan, penaklukan berlaku di Kedah, Pantai Timur Semenanjung, Ligor dan Langkasuka. Prasasti Kota Kapur mencatatkan pada tahun 686 Masihi tentera Srivijaya telah menjalankan ekspedisi untuk menyerang Jawa Barat. Kemudian pada tahun 732 Masihi, Jawa Tengah pula diserang seperti yang ditunjukkan dalam Prasasti Caanggal. Meskipun wilayah jajahan Srivijaya adalah luas, ianya tidak begitu membantu dalam penyebaran agama Buddha ke kawasan jajahannya. Masyarakat Srivijaya di wilayah-wilayah jajahan hanya berfokus kepada aspek perdagangan disebabkan Palembang merupakan kawasan yang tidak strategik. Pemerintah Srivijaya terpaksa mencari jalan untuk menangani masalah tarikan perdagangan dengan perluasan kuasa. Justeru, hanya kawasan Palembang dicatatkan oleh para pengembara sebagai pusat penyebaran agama Buddha. Meskipun I-tsing dalam catatannya menyatakan bahawa sepanjang perjalanan beliau ke kawasan-kawasan daerah Srivijaya terdapat kuil-kuil Buddha dibina, pegangan mazhab yang digunapakai oleh masyarakat ketika itu tidak dijelaskan.
Photo via: suri441.wordpress.com
Jelasnya, pengukuhan agama Buddha di Srivijaya masih diperbahaskan. Mazhab Buddha sebenar yang dianuti masyarakat Srivijaya tidak dapat dikenalpasti dengan jelas. Ketika I-tsing melawat Srivijaya pada abad ke-8, beliau menyatakan bahawa majoriti masyarakat Srivijaya bermazhab Hinayana daripada mazhab Mulasarwastiwardanikaya. Ini berbeza dengan pandangan yang menyatakan bahawa mazhab Buddha Mahayana menjadi pegangan pemerintah Srivijaya pada peringkat awal. Sekitar tahun 1025 Masihi, kerajaan Chola melakukan serangan besar-besaran terhadap kerajaan Srivijaya. Keadaan ini menyebabkan pengaruh serta kedudukan agama Buddha semakin terhakis di Srivijaya. Kerajaan Chola yang berpegang kepada agama Hindu telah membina kuil-kuil Hindu di kawasan taklukan Srivijaya seperti Kedah. Sungguhpun demikian, golongan sejarawan dan ahli arkeologi menyatakan bahawa Srivijaya ketika itu masih kekal sebagai sebuah kerajaan, manakala 90 peratus daripada masyarakatnya masih mengamalkan agama Buddha sehingga tempoh kedatangan Islam.


George Coedes. 1968. The Indianized States of Southeast Asia. Kuala Lumpur: Universiti Malaya Press.

John F. Cady. 1964. Southeast Asia: Its Historical Development. New York: McGraw-Hill Inc.


Kongsikan Bersama