*Oleh: Birru Aidan
Gerakan 4 Mei 1919 terjadi di China. Ia merupakan satu
gerakan menerusi pelancaran demonstrasi besar-bersaran oleh beberapa ribu orang
pelajar Universiti Peking (Beijing) mempertahankan kedaulatan China. Tuntutan mempertahankan
kedaulatan China tersebut terjadi berikutan Perjanjian Versailles 1919
(perjanjian oleh kuasa-kuasa Barat selepas Perang Dunia Pertama) memutuskan
bahawa bekas hak-hak penguasaan Jerman
di wilayah Shantung (meliputi konsesi perdagangan) diserahkan kepada Jepun yang
bertindak menguasai wilayah Shantung. Hal ini menimbulkan perasaan tidak puas
hati masyarakat China yang bertegas mempertahankan Shantung sebagai wilayah
China, seterusnya melancarkan gerakan 4 Mei 1919. Berikut merupakan faktor Gerakan
4 Mei 1919;
1) Ketidakstabilan politik/politik tidak mantap
Kerajaan China gagal mentadbir negara dengan efektif. Hal
ini kerana berlaku perselisihan antara pemerintah tertinggi China sejak China
ditubuhkan sebagai negara Republik tahun 1912. Antaranya perselisihan Presiden
Republik Yuan Shih Kai (yang bertindak melantik diri sendiri sebagai maharaja
China) dengan Dr Sun Yat Sen. Hal in diburukkan lagi dengan masalah dalaman
sesama ahli Kuomintang (Parti Nasionalis China). Rakyat seterusnya hilang kepercayaan
apabila terdapat ahli politik China yang pro Jepun dalam isu wilayah Shantung.
2) Masalah wilayah Shantung
Konflik Jepun dengan China di wilayah itu sendiri merupakan
faktor jelas terjadi Gerakan 4 Mei. Jepun berjaya mengalahkan Jerman di wilayah
tersebut dan mengemukakan tuntutan 21 perkara kepada China. Antara tuntutan
tersebut ialah Jepun mensyaratkan China tidak menyerahkan pelabuhan, teluk atau
pulau-pulau di China kepada kuasa lain atau kuasa ketiga. Desakan supaya China
mengakui kedudukan Jepun di Shantung juga merupakan satu daripada tuntutan 21
Jepun. Justeru, golongan pelajar menganggapnya sebagai satu penghinaan kepada
China
3) Pekembangan intelektual
Tsan Yuan Pei (Canselor Universiti Peking) melaksanakan
beberapa perubahan di Universiti Peking. Contohnya, beliau mempergiat fungsi
universiti sebagai gedung ilmu serta menerapkan amalan demokrasi. Beliau turut
menekankan saranan pemantapan politik, ekonomi dan sosial mengikut acuan moden
dari Barat. Keadaan ini menjadikan Universiti Peking sebagai pusat perkembangan
intelektual sehingga menjadi penggerak kepada Gerakan 4 Mei 1919.
4) Pengaruh/keadaan luar negeri
Revolusi Bolshevik 1917 yang berlaku di Rusia lanjutan
perjuangan rakyatnya menggulingkan pemimpin korup juga merupakan antara perangsang kepada Gerakan 4
Mei 1919 di China. Selain itu Rusuhan Beras 1918 di Jepun juga mempengaruhi
rakyat China mencetuskan Gerakan 4 Mei 1919
Sumbangsih Nota Kuliah Al-marhum Dr. Azhar Mad Aros (Pensyarah Jabatan Sejarah, Universiti Malaya). 2014.