Pengaruh Sun Yat Sen di Tanah Melayu

  • Post category:Politik
Kongsikan Bersama

*Oleh: Birru Aidan:)

Revolusi China tahun 1911 memberi kesan kepada keruntuhan Dinasti Manchu. Ia sinonim dengan pengaruh atau peranan yang dimainkan oleh pelopornya iaitu Dr Sun Yat Sen. Sun Yat Sen memperkenalkan tiga prinsip rakyat (San Min Chu-i) iaitu Nasionalisme, Sosialisme dan Demokrasi dalam perjuangan Revolusi China.

Photo via: gxjzy.com
Pengaruh Revolusi China turut meluas hingga ke Asia Tenggara. Dari tahun 1900 hingga 1910, Sun Yat Sen pernah melawat Tanah Melayu sebanyak lapan kali. Di Pulau Pinang, Sun Yat Sen mengadakan lawatan dari tahun 1906 hingga 1912 sebanyak lima kali bagi meraih sokongan penduduk Cina di Tanah Melayu menyokong dan melancarkan Revolusi China. Pertubuhan politik Tung Meng Hui (Parti Revolusi China) yang diasaskan oleh Sun Yat Sen mempunyai cawangan di sekitar Asia Tenggara. Singapura menjadi ibu pejabat utama cawangan Tung Meng Hui Asia Tenggara.
Photo: national museumofsingapore/via: roots.gov.sg
Cawangan Tung Meng Hui turut ditubuhkan di Pulau Pinang pada tahun 1906. Pengikut-pengikut Sun Yat Sen di Pulau Pinang kemudiannya menubuhkan Kelab Membaca dan akhbar sebagai sokongan kepada gerakan Tung Meng Hui. Contohnya, pada tahun 1908 Penang Philomatic Union ditubuhkan sebagai badan sosial merangkap Kelab Membaca kepada Tung Meng Hui cawangan Pulau Pinang. Manakala pada tahun 1910 Kwong Wah Yit Poh dilancarkan sebagai akhbar rasmi Tung Meng Hui. Antara tahun 1908 hingaa 1911, terdapat 58 buah Kelab Membaca ditubuhkan di sekitar Tanah Melayu dan Singapura bagi menyokong usaha revolusi Tung Meng Hui yang diasaskan Sun Yat Sen.
Photo via: blog.nus.edu.sg
Perkembangan nasionalisme China menerusi revolusi yang dilancarkan oleh Sun Yat Sen memperkukuhkan solidariti hubungan komuniti Cina yang menetap di Asia Tenggara. Pembentukan pemerintahan Republik China oleh Sun Yat Sen penghujung tahun 1911 dan awal 1912 dilihat oleh komuniti Cina luar negara pada tempoh tersebut sebagai pencapaian membanggakan. Sehingga tahun 1940-an misalnya, sebahagian pelajar sekolah Cina di Tanah Melayu dikehendaki memberi tunduk hormat kepada potret Sun Yat Sen semasa perhimpunan sekolah diadakan. Sungguhpun demikian, perkembangan nasionalisme China awal abad ke-20 menyebabkan sebahagian komuniti Cina di Asia Tenggara berada dalam dilema. Ia berikutan mereka perlu menentukan sama ada menzahirkan nasionalisme berpaksikan kesetiaan kepada negara China atau mengamalkan nasionalisme mengikut arus perjuangan masyarakat tempatan di Asia Tenggara.


Barbara Watson Andaya & Leonad Y. Andaya. 2001. A History of Malaysia. Hampshire: Palgrave.

Lawatan Penulis ke Sun Yat Sen Museum Penang. 2017. Georgetown, Pulau Pinang.

Paul Karatoska. 1992. Nationalism and Modernist Reform. Dlm. The Cambridge History of Southeast Asia Volume Two: The Nineteenth and Twentieth Centuries. Nicholas Tarling (ed). Cambridge: Cambridge University Press. hlm 249-324.


Kongsikan Bersama