Kedaulatan Pemerintah di Melaka

Kongsikan Bersama

*Oleh: Jacqueline Salomi:)

Kegemilangan Melaka selalu dikaitkan dengan aspek peranan pemerintah dari segi kedaulatan dan kebijaksanaan pemerintah itu sendiri. Pemerintah sering dikaitkan dengan konsep Daulat dan Derhaka dan mendapat gelaran sebagai ‘Zulliahifil Alam’ yang bermaksud ‘sultan yang memerintah di dunia adalah wakil Allah di bumi’. Berdasarkan kepada konsep ini, ia telah menjadi satu elemen penting bagi membantu mengukuhkan kedudukan dan seterusnya meninggikan kedudukan seseorang pemerintah.

Photo by: newworldencyclopedia.org (ed)
Seseorang pemerintah dianggap mempunyai “daulat” yang berasal dari perkataan Arab iaitu yang bermaksud negeri atau kerajaan dan juga membawa maksud kuasa luar biasa yang tidak ada pada orang biasa yang lain. Sesiapa yang ingkar dan melawan sebarang titah sultan, maka orang tersebut dikenakan ‘tulah’ atau balasan buruk. Hal ini menyebabkan rakyat menjalankan titah sultan supaya tidak dianggap sebagai penderhaka dan memberikan taat setia yang tidak berbelah- bahagi kepada pemerintah agar mereka tidak terkena tulah raja.
tahutuai.com
Terdapat beberapa perkara dalam pemerintahan kerajaan Melaka yang juga dapat memperkukuhkan kedaulatannya sebagai seorang pemerintah yang berwibawa. Pertamanya adalah penggunaan bahasa dalam atau bahasa beradat. Seseorang yang hendak berhubung dengan raja, kerabatnya dan para pembesar haruslah menggunakan bahasa dalam ini. Antara contoh kata-kata bagi diri raja dan persekitarannya ialah titah, santap, mangkat, gering, kurnia, bercemar duli, siram, murka, makam, beradu, berangkat dan sebagainya. Hal ini dapat membuktikan bahasa dalam mampu meletakkan kedudukan raja yang lebih tinggi.
Photo by: taiwannews.com. tw (ed)
Seterusnya, hak keistimewaan raja juga diambil kira untuk membezakan baginda dengan orang biasa. Misalnya, hak istimewa yang dikhaskan untuk raja adalah seperti penggunaan warna. Warna kuning dikhaskan untuk raja dan kerabat baginda dan orang biasa dilarang memakai warna tersebut.
Photo by: anglefire.com (ed)

Tambahan pula, penggunaan alat-alat kebesaran diraja seringkali digunakan pada hari pertabalan untuk menunjukkan kemegahan raja yang dianggap sebagai keramat. Contoh alat-alat kebesaran diraja adalah cap mohor yang diperbuat daripada perak dengan bertangkai kayu pada pemegangnya dan penggunaan beberapa jenis senjata seperti pedang, lembing, keris dan tombak yang selalu diarak dalam upacara diraja. Penggunaan alat-alat nobat juga termasuk dalam kategori alat-alat kebesaran diraja. “Nobat” berasal daripada bahasa Parsi bererti sembilan alat. Sebagai contoh, gendang nobat (sebuah), gendang peningkah (dua buah), nafiri (sebatang), serunai (dua batang), nagara (dua buah) yang akan dimainkan dalam upacara rasmi.

Jelasnya, kedaulatan sangat penting kepada seseorang pemerintah. Hal ini kerana kesetiaan dan ketaatan yang diberi oleh rakyat dapat mengukuhkan kedudukan pemerintah malah menjadikan negeri Melaka sebagai suatu negeri yang makmur dengan mencapai kegemilangannya pada abad ke-15.


Haji Tajudin bin Haji Hussein. 2007. Malaysia Negara Kita. Kuala Lumpur: MDC Publishers Sdn Bhd.

Syed Zulfilda S.M. Noor. 2006. Pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka Kemunculan dan Kegemilangan. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia.


Kongsikan Bersama