Nasionalisme India – Mahatma Gandhi (Bahagian 1)

  • Post category:Tokoh
Kongsikan Bersama

*Oleh: Ezafel Hakimi:)

Mahatma Gandhi merupakan seorang tokoh yang sinonim dalam perjuangan menuntut kemerdekaan di India daripada penguasaan British. Nama sebenar beliau ialah Mohandas Karamchand Gandhi atau dikenali sebagai “Mahatma” yang bermaksud jiwa yang agung. Pengikut-pengikut Mahatma Gandhi di India menggelarnya “Bapu” yang bermaksud bapa negara. Beliau dilahirkan pada 2 Oktober 1869 di Probandar iaitu sebuah pekan kecil di pantai Barat India.

Photo via: protest-as12005.weebly.com
Gandhi merupakan tokoh perjuangan nasionalisme di India yang terkenal dengan falsafah perjuangan beliau iaitu Satyagraha dan Ahimsa yang merujuk kepada pendekatan perjuangan bersifat sederhana. Terdapat sesetengah pihak dalam kalangan masyarakat Hindu yang menyanjungi dan menentang falsafah beliau ini. Namun, beliau amat bertoleransi dan berusaha untuk mengurangkan ketegangan komunal antara masyarakat majoriti dan minoriti di India iaitu Hindu dan Islam. Malahan, Gandhi menegaskan enggan memperjuangkan kemerdekaan sepenuhnya jika perpaduan antara masyarakat Hindu dan Islam tidak tercapai.
Photo via: nrinews24x7.com
Perjuangan Gandhi disalah tafsir oleh sebilangan tokoh masyarakat Hindu yang menganggap beliau lebih bersimpati terhadap masyarakat Islam. Manakala, daripada perspektif segelintir tokoh Islam pula menganggap Gandhi tidak konsisten dalam usaha menyatupadukan masyarakat India berbeza agama. Matlamat Gandhi menyatupadukan masyarakat India menghadapi beberapa cabaran ekoran terdapat beberapa tokoh ekstremis Hindu seperti Malaviya, Lajpat Rai, Moonje dan Shraddhanand yang cenderung melancarkan gerakan Sangathan bertujuan mengumpul dan menyatukan masyarakat Hindu. Hal ini bertujuan menghilangkan imej penganut Hindu sebagai pemakai dhoti yang pengecut, dan menggantikannya dengan imej militan bagi mengekalkan maruah masyarakatnya.
Sumbangan Gandhi dalam konteks nasionalisme di India dapat dilihat melalui kepimpinannya menerusi Kongres Kebangsaan India (INC) dari tahun 1920 hingga tahun 1939. Mahatma Gandhi telah berjaya menukar INC daripada sebuah parti bersifat elit kepada sebuah gerakan massa yang penting mewakili pelbagai kelompok masyarakat dari kelas bawahan hingga kelas atasan. Beliau merasakan bahawa Satyagraha merupakan cara yang paling relevan dalam menghadapi pihak British menerusi pengaruh beliau dalam INC.


Azharudin Mohamed Dali. 2015. Tamadun India. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mushirul Hasan. 1979. Nationalism and Communal Politics in India, 1916-1928. New Delhi: Manohar Publications.


Kongsikan Bersama