*Oleh: Jacqueline Salomi:)
Sejarawan sebenarnya individu yang mengkaji dan merekod sesuatu peristiwa yang telah berlaku pada zaman dahulu untuk dijadikan panduan atau pengajaran kepada generasi yang akan datang. Sejarawan Alam Melayu terbahagi kepada dua golongan iaitu sejarawan rasmi dan sejarawan persendirian. Bentuk karya-karya pensejarahan Melayu biasanya berbentuk prosa dan puisi khususnya berbentuk syair.
Sejarawan rasmi atau lebih dikenali sebagai sejarawan istana merupakan golongan yang dilantik oleh raja dan berperanan sebagai jurutulis di istana. Golongan ini menghasilkan karya pensejarahan untuk tujuan-tujuan tertentu seperti melaksanakan perintah raja, mengembirakan hati raja atau menunjukkan kehebatan para pahlawan. Jika mereka enggan terhadap perintah raja, maka dianggap derhaka kepada raja. Sebagai contoh, Tun Seri Lanang terpaksa akur akan perintah raja untuk membaiki kandungan hikayat Melayu dari Goa dan dinamakan sebagai Sulalatus Salatin. Bukan itu sahaja, pengarang Misa Melayu iaitu Raja Chulan pernah menunjukkan motif penulisan beliau demi memenangi hati raja melalui rangkap pantun dalam karya tersebut.
Sejarawan persendirian pula tidak dilantik secara rasmi dan disebabkan minat yang sangat mendalam dalam bidang penulisan mereka mempunyai kesedaran diri untuk menghasilkan karya pensejarahan. Golongan ini tidak mengharapkan ganjaran kewangan tetapi kesedaran terhadap kepentingan peristiwa dan tokoh dalam sejarah dikaji dan ditulis supaya boleh menjadi ingatan dan teladan kepada masyarakat umum. Contoh sejarawan persendirian ialah Raja Ali Haji. Raja Ali Haji merupakan cucu pahlawan Bugis yang telah mengarang karya-karya terkenal seperti Salasilah Melayu dan Tuhfat Al-Nafis. Beliau telah menekankan penggunaan pelbagai sumber dan memuatkan bentuk penyelidikan yang munasabah. Jelasnya, beliau telah melakukan pengumpulan, perbandingan serta penafsiran terhadap sumber untuk menghasilkan karya yang bersifat objektif.
Dalam konteks sejarawan tradisi pula boleh dibahagikan kepada tradisi Islam, Cina dan India. Bagi tradisi Islam, contoh tokoh terkenal ialah al-Masudi, Ibn Khaldun, al-Zubri dan sebagainya. Tokoh-tokoh tersebut menggunakan al-Quran dan hadis sebagai sumber penulisan dalam karya pensejarahan. Namun terdapat sedikit pendekatan berbeza diambil Ibn Khaldun. Beliau tidak menerapkan unsur bias, lagenda atau mitos dalam karya pensejarahan. Malah beliau turut memperkenalkan suatu teori sosial yang baru iaitu assabiyah dalam karya Muqaddimah. Bagi tradisi Cina, Ssu-ma Kuang merupakan tokoh terkenal yang meghasilkan karya Tzu Chih t’ung -Chien (Suatu Cermin yang Lengkap sebagai Bantuan dalam Berkerajaan). Manakala bagi tradisi India pula Kalhana dalam karyanya Rajatrangini, beliau berjaya menggunakan sumber-sumber yang terdiri daripada catatan bertulis, inskripsi-inskripsi, hikayat dan merujuk kepada kepingan-kepingan wang syiling, geran tanah, catatan keluarga untuk menghasilkan karya tersebut.