Propaganda Jepun Di Tanah Melayu

  • Post category:Politik
Kongsikan Bersama

*Oleh: Jacqueline Salomi:)

Propaganda yang dibawa oleh Jepun ke Tanah Melayu menyebabkan semangat nasionalisme tercetus dalam kalangan penduduk tempatan bagi memperjuangkan kebebasan tanah air daripada penjajahan. Propaganda Jepun menjurus kepada tujuan mendapatkan sokongan penduduk tempatan bahawa Jepun adalah pembebas dan ketua bagi kesatuan Asia yang baharu bagi menghapuskan eksploitasi serta kebiadaban pihak Barat ke atas orang Asia.

Photo by: theleansubmariner.com (ed)
Ketidakadilan dan penindasan Barat ditonjolkan oleh Jepun dalam propagandanya membebaskan Tanah Melayu dan Asia. Tentera Jepun beranggapan Empayar Nippon bertanggungjawab untuk menghapuskan “gaya hidup senang” masyarakat Barat yang tidak memberi kebaikan kepada masyarakat dengan menerapkan semangat kemanusiaan Empayar Nippon melalui berberapa konsep. Antaranya adalah konsep “Asia untuk Asia”, “Rancangan Kawasan Kesemakmuran bersama Asia Timur Raya” serta “Hakko-ichiu” (Lapan penjuru dunia di bawah satu bumbung). Pihak Jepun ingin membentuk pemikiran dan identiti Pan-Asia dalam jati diri penduduk Tanah Melayu .
Photo by: singaporememory.sg (ed)
Strategi Jepun dalam menyebarkan propaganda mereka adalah menerusi penerbitan laporan akhbar seperti Malai Shinpo dan Syonan Shinbun dari tahun 1942 hingga 1945. Kedua-dua akhbar tersebut memperlihatkan persamaan dalam menonjolkan prestij atau “kebaikan” Jepun membebaskan masyarakat Tanah melayu dari penjajahan British. Contohnya, propaganda ekonomi menerusi konsep atau slogan “Rancangan Kawasan Kesemakmuran bersama Asia Timur Raya” diterjemahkan Jepun dalam laporan akhbar-akhbar tersebut. Antara propaganda tersebut termasuklah Jepun memuatkan laporan bahawa pendapatan Tanah Melayu meningkat semasa pentadbirannya, dan tentera Jepun saling membantu petani mengaplikasi teknik pertanian dari Jepun.
Bagi memperkukuhkan kelangsungan propagandanya demi mentadbir Tanah Melayu, pihak Jepun meneruskan polisi memberi keutamaan kepada penduduk Melayu memegang jawatan sebagai pentadbir sokongan. Di peringkat kakitangan jawatan kerajaan tempatan, pihak Jepun telah menaikkan pangkat sejumlah penduduk Melayu untuk menjadi pegawai daerah yang sebelumnya bekerja dalam pentadbiran British.
Photo by: wowshack.com (ed)

Kebanyakan pasukan tentera Jepun juga dianggotai oleh penduduk Melayu; majoritinya seperti pasukan sukarelawan Heiho, Giyu Gun dan Gyu Tai. Pihak Jepun memberi latihan kepada pegawai Melayu di Sekolah Latihan Pejabat Polis Melayu yang ditubuhkan di Singapura. Pendekatan Jepun yang cenderung menjalinkan hubungan dengan masyarakat Melayu ini turut dimuatkan dalam akhbar propagandanya seperti Syonan Shinbun. Laporan tersebut menyatakan bahawa Raja Melayu dan masyarakat Melayu yang terdiri dari pelbagai lapisan termasuk golongan nasionalis menyokong pemerintahan Jepun. Kesan propaganda serta strategi Jepun dalam memberi pendedahan pentadbiran dan ketenteraan kepada penduduk Tanah Melayu, mengubah pemikiran penduduk tempatan untuk turut menentang Jepun ekoran mengesan pendekatan Jepun manyamai penjajahan Biritsh sebelumnya. Jelaslah bahawa propaganda Jepun telah membangkitkan semangat nasionalisme dalam kalangan penduduk di Tanah Melayu.


Paul H.Kratoska. 1997. The Japanese Occupation of Malaya. Hawaii: University of Hawaii Press.

Cheah Boon Kheng. 2012. Red Star Over Malaya: Resistance and Social Conflict during and after The Japanese Occupation 1941-1946. Singapore: National University of Singapore Press.

Fauziah Fathil & Fathiah Fathil. 2017. Japanese Propaganda in War-time Malaya: Main Issues in Malai Shinpo and Syonan Shinbun. Journal of Media & Information Warfare. Vo1. 10: 1-23.


Kongsikan Bersama